Saturday, May 12, 2018

Suatu Masa Itu... 12 Mei 2018

Assalamualaikum,

Tidak tahu dari mana harus dimulakan namun baca ini sebagai sebuah warkah dan mungkin menjadi panduan hidup wahai anak - anak yang amat dikasihi. Banyak perkara yang harus kalian tahu.

Wahai anak - anakku, disaat kalian semua membesar dalam naungan perlindunganku dan dakapan kasih ibu, Malaysia inilah tanah kelahiranmu. Disinilah kalian merencana hidup menjadi seorang khalifah yang mencari permata Iman dan pahala untuk bekalan hidup di hadapan Allah Swt kelak.

Mungkin kalian pernah mendengar nama - nama pimpinan negara kelahiran ini. Tunku Abdul Rahman, seorang pemimpin berjiwa kental yang telah memerdekakan moyang kita dari jajahan British.

Tun Abdul Razak, seorang negarawan yang menyambung kepimpinan Tungku Abdul Rahman dalam usaha membangunkan Malaysia setelah sekian lama dijajah serta memerdekakan ekonomi bangsa Melayu.

Tun Hussien Onn, mewarisi pimpinan Tun Razak dalam keadaan hiba bersama seluruh rakyat Malaysia kerana Tun Razak dijemput Ilahi disaat beliau gigih mencana pembanguan negara.

Mandat pimpinan Perdana Menteri ini kemudiannya diserahkan kepada Tun Dr. Mahathir seorang negarawan yang berjiwa besar serta berpandangan jauh untuk terus mengerakkan Malaysia agar berjaya bersaing bersama negara - negara besar.

Dato Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Tun Mahathir yang pada ketika menjadi pujaan rakyat Melayu kerana kesungguhannya mengangkat martabat melayu ke tahap yang lebih hebat. Namun kerana percaturan politik serta kerakusan kuasa yang mula tersemat di hati pemimpin - pemimpin negara, Dato Seri Anwar kecundang dengan tomahan serta aib demi aib di hamparkan kepadanya hingga beliau dihukum tidur di belakang jeriji besi.

Tun Abdullah Badawi, mengalas tanggungjawab yang dilepaskan oleh Tun Mahathir untuk terus memacu negara serta bangsanya. Namun disaat usaha beliau dipergiat, tercetus lagi percaturan jijik yang merasakan Tun Abdullah harus dijatuhkan kerana gagal mentadbir negara walau pada ketikanya beliau berusaha memperbaiki kesilapan pimpinan lalu. Diatas asakan dan tomahan, beliau akur dan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke - 5.

Dato Seri Najib, anak kepada Tun Razak diberi kepercayaan oleh ramai pemimpin untuk meneruskan legasi pimpinan UMNO (sebuah pertubuhan bangsa Melayu) untuk mencorak Malaysia agar kembali hebat seperti sebelumnya.

Disnilah segalanya berakhir wahai anak - anakku, disinilah titiknya, disinilah Papa mulakan bicara agar menjadi tauladan dan panduan kalian.

Papa bukanlah seorang pemimpin negara atau ahli politik yang mencorak negara seperti Aki kalian. Namun bicara ini sebagai seorang Khalifah yang diberi sedikit ilmu duniawi untuk menilai yang nyata dan tersirat. 

Tidak perlu dikisahkan kejayaan Dato Seri Najib disini kerana pastinya ia boleh dilihat dengan panca indera kurniaan Ilahi mahupun kelemahannya kerana kalian pasti dapat mendengar jelas serata negara.

Sejujurnya, Papa tidak mengenali beliau dengan akrab, hanya sekadar seorang rakyat yang menghormati pemimpin. Tetapi Papa amat menginsafi apa yang terjadi kepadanya.

Pada tarikh 9 Mei 2018, Pilihanraya umum -14 telah dilaksana dengan usaha rakyat mengundi siapa pemimpinnya. Ternyata kuasa yang di istiharkan sebagai Kuasa Rakyat Kuasa Keramat, Suara Rakyat Suara Keramat telah menurunkan Dato Najib serta barisan pimpinan UMNO dan mandat pemerintahan diberi kepada Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun Mahathir serta Dato Seri Dr. Wan Aziziah.

Kekalahan dalam pilihan ini tidak berhenti disitu kerana bermulalah kisah sedih lagi hina pada pandangan hati Papa yang melanda seluruh Malaysia.

Dato Najib yang dahulunya disanjung, kini dicaci dan di aibkan merata mulut. Ini semua adalah kerana tuduhan yang mengatakan beliau telah mencuri hasil negara untuk kepentingan keluarganya serta mencatur kuasa untuk melindungi kesalahannya dan keluarga.

Tidak boleh Papa nafikan dan tidak pula menerima semua tuduhan ini kerana pendirian Papa sama seperti suatu masa sebelumnya  disaat Dato Seri Anwar dilemparkan dengan pelbagai hinaan dan tomahan jijik.

Anak - anakku, pada saat warkah ini dinyatakan, Dato Najib masih belum di bawa ke hadapan kamar pengadilan untuk menentukan kesalahannya. Ingatlah disini, sebagai panduan pertama kalian, Nabi S.A.W melarang dan mengharamkan umatnya untuk menuduh dan menghukum sebelum kebenaran dilaksana dan kesempurnaan penghakiman itu hanya milik Allah Swt.

Namun, saat dan ketika ini, Dato Najib telahpun dihukum oleh seluruh bangsa Malaysia sepertinya kebenaran telah nyata. Beliau dihina, dicaci malah dilihat lebih jijik dari seorang penzina mahupun umat yang murtad Imannya.

Marahnya mereka seolah tiada satu pun kebaikan yang mampu disimpulkan kasih untuknya malah ludahan itu wajar di calitkan ke wajahnya.

Papa mahu kalian tahu agar tidak keliru dikemudian hari, mungkin benar atau mungkin tidak beliau mencuri hasil negara dan nyatanya disaat beliau mentadbir, rakyat diduga Allah dengan dihimpit kesempitan hidup serta rezeki, ini jelas Papa lihat dan turut merasainya.

Namun, ini juga adalah benar untuk kalian amati, disaat beliau mentadbir negara, Papa dan seluruh umat Nabi Muhammad Saw tenang beribadah, aman mencari nafkah halal, mudah untuk berbicara halnya negara serta bangsa hingga tiada yang dikamarkan di bilik besi saat menentangnya dan beliau turut memperjuangkan haknya nasib umat Islam dibumi Rohingya dan Palestin.

Benar wahai anakku, tiada kejahatan dan kesalahan boleh tertutup dengan kebaikan tanpa hukuman dan keampunan. Namun pelajarilah anakku, sejahatnya manusia itu, pandanglah jua kebaikannya. Hukumlah dia dengan saksama dan janganlah dihina serta dicaci mengatasi ilmu Allah yang Maha bijaksana. Ingatlah anak-anakku, Nabi ku berpesan, tutuplah aib saudaramu kerana Allah sentiasa menutup aib hambanya dan hindarilah perkara yang tidak nyata maka berpeganglah pada yang kebenaran.

Disaat ini, belum lagi jelas tuduhan terhadap Dato Najib ini, rakyat telah menghukum dan mencaci bahkan dahulunya sahabat kini menjadi serigala hutan kelaparan. Segala baiknya beliau terpadam tanpa kesan dengan tuduhan sebelum kebenaran.

Pelajarilah anakku, walau sejahat mana saudaramu, senyumlah pada kebaikannya. Andai benar saudaramu bersalah hukumlah dia seperti seorang khalifah yang takut pada penciptanya. Berpadalah dalam sesuatu tindakan kerana apa yang terjadi itu tetap tercatat ia dalam kamus amalmu kelak.

Pelajarilah anakku, andai bersahabat biarlah kerana agama bukan kerana harta, berjabatlah kerana ukhwah bukan kerana kuasa, bersamalah kerana Allah bukan kerana pangkat mahupun nama.

Pelajarilah anakku, andai bersuara berbudilah dalam bicara, andai melaksana tingkahmu, jauhilah berlebihan, andai menghukum janganlah melebihi kerajaan Allah yang bijaksana.

Hidup ini ibarat cermin wahai anakku, hidup ini ada pusingannya. Dahulunya Papa melihat mereka yang menentang Dato Najib bercerita tentang kehinaan dan kejahilan dalam melaksana kuasa. Hari ini seperti kisah mereka diterjemaah dengan tingkah laku mereka jua. Umpama dendam yang tiada hujungnya.

Jangan sekali - kali kalian berdendam kerana saat dendam membara, bukan Malaikat ilhamkan suasana sebaliknya syaitan datang syairkan hasutan neraka. Kalian pasti lena dengan alunannya.

Ketahuilah, andai hukum sedang dicanai, jangan sampai menzalimi walau dia bersalah. Kerna pesalah itu jua hamba Allah dan Allah Maha mengetahui lagi saksama. Janganlah pula atas kezaliman kalian membawa padah kerana percayalah Allah menerima doa kudus hamba yang dizalimi. Tidakkah pula Allah akan memuliakan pesalah itu kerana dizalimi dan pada waktu itu siapakah kalian di hadapan Allah dan Rasulnya.

Jelas Papa nyatakan pada kalian, inilah zamannya fitnah menjadi nyata, dusta menjadi pahala, maki dan caci sebagai zikir pembasah bicara. Inilah kebenaran alam Dajjal mula dilaksana. Tidak sekali papa melindungi siapa jua yang salah tetapi tidak sekali papa melebihi batasan papa sebagai hamba mahupun mendahului sesuatu saat menjadi khalifah dunia.

Percayalah anakku, bidalan berkata andai orang yang baik tidak menyertai politik, mereka yang jahat akan menguasai dunia. Bidalan ini benar tetapi ketahuilah batas kalian. Sungguh kalian ciptaan Allah yang baik, janganlah politik dekatkan kalian dengan pintu neraka. 

Mungkin saat ini, Dato Najib sedang dihukum Allah atas kesalahannya, tetapi papa tidak berhak melempar cacian pada dia. Biarlah kebenaran menuntut keatasnya.

Pelajarilah jua anakku, andai kalian berkuasa amaanah dan jujurlah pada agama dan agama. Jangan sesekali hadapkan dunia sebagai kiblat sebaliknya bisikkan pada hati bahawa akhirat menanti dengan balasan.

Belajarlah dengan Syeikh Abdul Qadir Al- Jailani:

Sungguh aku menghormati mereka yang beradab melebihi mereka yang berilmu kerana syaitan itu lebih tinggi ilmunya namun dilaknati Allah kerana hilang adabnya. Seiringkan ilmu dan adabmu.

Ingatlah juga kerana kesombongan syaitan kepada Allah telah menjadikan syaitan itu dihalua dari menghuni syurga. Jangan pula kalian menjadi sombong walaupun belum melihat syurga kerana pasti kalian lebih hina bodoh dari syaitan penghuni neraka.


Nabi Saw berpesan, perangilah pemimpin yang zalim dan jangan mendahului sesuatu dengan nafsu.

Insafilah kesilapan dato Najib ini dan jauhilah kejahilan yang sedang berlaku pada saat yang Papa alami ini.

Papa doakan moga kalian semua terhindar dari tuturan Dajjal dan diizin Allah kekuatan Iman. Papa tidak mampu melihat masa hadapan kalian, tetapi andai kelak, Islam dan bangsa Melayu itu dimamah kuasa, bangkitlah pertahankannya setelah kebenaran dihadapan mata. Sehingga saat itu, lindungilah ia dengan lafas Bismillah.

Love you all,
Kamal Amirul Mukminin.
12 Mei 2018           04:21 am

No comments: